Wednesday, February 27, 2008

Vanilla Di Perkenal Jadi Tanaman Komoditi Baru

Berita Harian: 27 Februari 2008
Vanila diperkenal jadi tanaman komoditi baru
Oleh Jalal Ali Abdul Rahim


SERDANG: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mahu memperkenalkan vanila sebagai tanaman komoditi baru kerana pasarannya yang luas pada peringkat antarabangsa. Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata tanaman itu mempunyai ciri pertanian yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) seperti nilai tambah tinggi, komersial, penggunaan teknologi moden, memanfaatkan bioteknologi serta pembabitan usahawan tani dan tenaga kerja mahir.

Katanya, kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) pada 1992 membuktikan pokok vanila boleh mengeluarkan buah berkualiti di negara ini. Vanila digunakan secara meluas dalam industri pemakanan seperti ais krim, minuman dan kek serta bau-bauan, khususnya industri pembuatan minyak wangi. Industri pembuatan tayar turut menggunakan vanila untuk mengatasi masalah bau getah yang kuat, selain industri farmaseutikal dan nutraseutikal. “Industri vanila adalah industri baru yang wajar diterokai secara serius oleh sektor pertanian negara. Usaha memperkenalkannya sebagai tanaman baru juga akan mengelak Malaysia terlalu bergantung kepada beberapa komoditi seperti getah dan kelapa sawit.

“Dengan mempelbagaikan tanaman komoditi negara, kita lebih bersedia menyerap faktor turun naik atau ketidakseimbangan harga komoditi di pasaran,” katanya pada majlis perasmian Seminar Vanila Malaysia Pasaran Dunia anjuran bersama Malaysian Herbal Corporation Sdn Bhd (MHC) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) di universiti berkenaan di sini, semalam. Teks ucapannya dibacakan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Zulkifli Idris. Hadir sama Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Nik Mustapha Abdullah; Pengarah Eksekutif MHC, Asmadi Md Said dan Ketua Pegawai Eksekutif Rentak Timur Sdn Bhd, Syed Isa Syed Alwi.

Dua perjanjian persefahaman (MoU) dimeterai membabitkan Vanilla Biometrix Sdn Bhd (VBSB), UPM dan Koperasi Usahawan Putrajaya Berhad bagi tujuan penyelidikan, penanaman dan pemasaran tanaman dan hasilnya. Muhyiddin berkata, dengan kelebihan potensi membekalkan vanila asli, Malaysia mampu meneroka pasaran utama dunia seperti Eropah dan Amerika Utara yang memberi penekanan terhadap penggunaan vanila asli kerana memenuhi kawalan kualiti dan piawaian ketat.

Sehubungan itu, kementeriannya berharap agensi penyelidikan termasuk swasta membuat kajian dan penyelidikan menghasilkan spesies pokok vanila tempatan dan menyediakan tapak ladang, manakala institusi kewangan menyediakan pembiayaan perlu bagi menyokong tanaman itu.

Tuesday, February 19, 2008

RM65j Bina Kilang Produk Herba

Berita Harian: 19 Februari 2008
RM65j bina kilang produk herba
Oleh Ahmad Fiesal Othman


SEJUMLAH RM65 juta diperuntukkan tahun ini untuk membina dua kilang pemprosesan produk herba bagi membantu serta menggalakkan pihak swasta menceburi serta mengkomersilkan produk berkenaan. Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, berkata ia masing-masing RM35 juta untuk membina fasa kedua kilang TPM Biotech Sdn Bhd di Raub, Pahang dan RM30 juta bagi pembinaan kilang baru di Perlis. Katanya, peruntukan berkenaan selaras usaha kerajaan menyediakan prasarana terbaik bagi membantu mengurangkan risiko dan beban kewangan pihak swasta menceburi bidang baru itu.

Beliau berkata, ia juga sebahagian usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai pengeluar produk herba bertaraf dunia menerusi bioteknologi dan penghasilan kaedah baru daripada kepelbagaian ramuan herba yang dimiliki. “Kemudahan prasarana dibina kerajaan seperti kilang pemprosesan herba dapat digunakan dan dimanfaatkan syarikat swasta yang mana setakat ini kilang di Raub, digunakan kira-kira 150 syarikat untuk memproses produk mereka,” katanya. Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis memeterai perjanjian persefahaman (MoU) antara anak syarikat milik penuh Technology Park Corporation Malaysia Sdn Bhd, TPM Biotech Corporation dengan Herbavescent Sdn Bhd dan perjanjian anak syarikat Ipmuda Bhd - UniHerbal Sdn Bhd dengan Provitz Biotech Sdn Bhd.

Pada majlis di Kuala Lumpur, semalam, itu Jamaludin turut melancarkan rangkaian produk Herbavescent dan Spartan yang dikeluarkan oleh Provitz Biotech. Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Ipmuda, Tan Sri Abu Sahid Mohamed. MoU antara TPM Biotech dengan dengan Herbavescent ialah untuk menjalin kerjasama dalam aspek pembangunan produk, kontrak pengeluaran dan mengkomersilkan produk herba dan kesihatan. MoU antara UniHerbal dengan Provitz Biotech pula ialah bagi melantik anak syarikat Ipmuda itu sebagai pengedar tunggal produk Spartan iaitu formulasi herba bagi membantu meningkatkan kekuatan, ketahanan dan kejantanan selain meningkatkan kesihatan secara am.

Jamaludin menambah, pembinaan fasa kedua kilang TPM Biotech di Raub kini sedang berjalan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun, manakala kilang baru di Perlis adalah bagi memenuhi keperluan di utara Semenanjung. Katanya, kementeriannya turut mendapat permintaan daripada Ketua Menteri Sabah untuk membina kilang serupa di negeri berkenaan dan akan memohon peruntukan baru kerajaan bagi tujuan itu. Beliau berkata, selain menyediakan kemudahan prasarana, kementeriannya sebagai antara yang dipertanggungjawabkan untuk memajukan industri herba juga bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk mewujudkan standard keselamatan untuk produk herba dihasilkan. “Kelulusan seperti itu amat penting bagi memastikan produk herba yang dihasilkan dijamin selamat serta memenuhi piawaian antarabangsa. Kabinet sudah meluluskan perkara itu dan ia akan dilancarkan tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Provitz Biotech, Probhat Malakar, berkata pihaknya mensasarkan meraih jualan antara RM18 juta hingga RM22 juta untuk tempoh 12 bulan akan datang bagi rangkaian produk Spartan dan Herbavescent dihasilkannya. Beliau berkata, produk terbabit setakat ini dipasarkan ke Turki dan syarikat mengenal pasti pasaran di Eropah, Thailand, Indonesia, Singapura dan Asia Barat yang berminat. “Dengan herba diperoleh dari Malaysia dan negara jiran Asean serta India dan China, Provitz Biotech berhasrat menjalankan lebih banyak penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.

Monday, February 18, 2008

23 Gerai Pamer Produk Tempatan

Berita Harian: 16 Februari 2008
23 gerai pamer produk tempatan
Oleh Abdul Halim Yusoff


MAHB sedia ruang niaga usahawan Bumiputera di terminal penumpang KLIA, LCCT MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) menawarkan lebih banyak ruang niaga kepada usahawan untuk memasarkan produk keluaran tempatan di terminal penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang. Ini susulan persefahaman dimeterai dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, yang menyaksikan MAHB menyediakan 23 gerai untuk usahawan Bumiputera menjual enam kategori keluaran tempatan merangkumi produk herba, kraf, fesyen, makanan, minuman dan produk aromaterapi.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohd Hashim Abdullah, berkata usahawan tempatan yang terpilih dijangka mula berniaga di lokasi berkenaan menjelang Jun ini. Katanya, program berkenaan dirangka khusus bagi mengetengahkan produk dan barangan tempatan kepada masyarakat antarabangsa, sebelum produk berkenaan dipasarkan ke seberang laut. Beliau berkata, usaha promosi penting bagi membolehkan produk keluaran pengusaha tempatan dikenali dan diterima baik di peringkat antarabangsa.

“Kerajaan sentiasa menggalakkan usahawan tempatan meningkatkan kegiatan promosi dan inovasi. Kementerian memperuntukkan dana RM10 juta setahun bagi membantu usahawan melaksanakan kegiatan promosi,” katanya. Beliau berkata demikian selepas mewakili menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melancarkan Plaza Herba (MHC) dan Projek Pusat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Usahawan (4PU) di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama Pengerusi Eksekutif Malaysian Herbal Corporation; Datuk Dr Ahmed Tasir Lope Pihie, Pengurus Besar MHC, Zainal Azman Abu Kasim; Ketua Penolong Setiausaha Kanan MECD, Mohamad Khir Mat Lazim dan Pengarah Eksekutif MHC, Asmadi Md Said.

MHC ialah anak syarikat Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MiGHT). Projek MHC dan 4PU ialah usaha sama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Might bagi memasarkan produk herba keluaran usahawan tempatan. Mohd Hashim berkata, kementerian hingga kini mewujudkan lima pusat 4PU iaitu masing-masing satu di Kuala Lumpur, Kedah, Perak, Kelantan, Johor dan Selangor. Katanya, 4PU adalah mekanisme pemasaran yang diperkenalkan kementerian itu untuk membantu usahawan memasarkan produk mereka secara konsisten.

“4PU ialah Pusat Dagangan yang mempunyai elemen pengumpulan, pemasaran dan tambah nilai di bawah program ‘Groom Big’, yang mana kerajaan mahu mewujudkan dua kelompok usahawan iaitu pengeluar dan usahawan pemasaran. “Kementerian sudah mengenal pasti 12 usahawan pemasaran di Malaysia, dan kami mensasarkan mewujudkan seramai 10 usahawan pemasaran setiap tahun,” katanya. Bagi program 4PU dan produk herba, MHC akan berfungsi sebagai agensi pemasaran kementerian bagi produk herba yang dikeluarkan usahawan Bumiputera. Di 4PU, semua produk herba akan dikumpul, dipamer, dipromosi, ditambah nilai dan dipasarkan MHC.

Keluaran Industri Herba Tempatan Di Unjur RM6B

Berita Harian: 13 Februari 2008
Keluaran industri herba tempatan diunjur RM8b
Oleh Zef Othman


Malaysian Herbal anjur pelbagai promosi produk jana pertumbuhan

MALAYSIAN Herbal Corporation, anak syarikat milik penuh Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), mengunjurkan nilai keluaran industri herba tempatan akan meningkat kepada RM8 bilion tahun ini daripada RM7.5 bilion tahun lalu. Pengurus Besar Kumpulannya, Zainal Azman Abu Kasim berkata, unjuran itu adalah sejajar dengan sasaran pertumbuhan tahunan industri itu, iaitu sekitar 10 peratus.

Beliau berkata, antara usaha yang dilaksanakan Malaysian Herbal bagi menjana pertumbuhan industri itu adalah mempelbagaikan aktiviti promosi produk herba, termasuk penganjuran temasya herba serta meningkatkan pendedahan terhadap penghasilan produk yang menggunakan bahan semula jadi yang boleh didapati di negara ini. Katanya, temasya herba yang bakal diadakan itu dijangka memberikan pendedahan kepada pengguna di negara ini mengenai produk yang boleh didapati di pasaran, disamping penggunaan bahan asas bagi mengeluarkan produk berasaskan herba. "Temasya dan aktiviti promosi produk herba secara agresif dapat membantu usahawan tempatan mempromosikan rangkaian produk di pasaran secara lebih meluas lagi," katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, semalam.

Menjelang penganjuran temasya herba pertama di Menara Kuala Lumpur pada 20 April ini, Malaysian Herbal akan menganjurkan temasya mini herba di pekarangan Plaza Herbal di Medan Tuanku, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Sebanyak 20 syarikat tempatan sudah mendaftar untuk menyertai temasya itu yang akan diadakan sempena pelancarannya plaza itu 15 Februari ini. Zainal berkata, ketika ini produk makanan tambahan dan kosmetik adalah antara produk herbal yang mendapat permintaan menggalakkan di negara ini. Beliau berkata, antara yang mempunyai potensi untuk berkembang pula adalah rangkaian produk farmaseutikal yang masih kurang diusahakan oleh usahawan tempatan.

Produk farmaseutikal, katanya begitu kurang diusahakan oleh usahawan tempatan kerana ia memerlukan pelaburan besar sementara pembangunan produk pula mengambil masa yang lama, iaitu antara lima hingga 10 tahun. Namun, katanya Malaysian Herbal menyarankan usahawan tempatan mengembangkan produk keluaran mereka untuk turut meliputi produk farmaseutikal bagi membolehkan mereka meneroka pasaran luar negara. "Mereka perlu memanfaatkan dana yang telah disediakan kerajaan untuk membantu usahawan melakukan penyelidikan membangunkan produk berkenaan," katanya.

Friday, February 15, 2008

Herbal Plaza di rasmikan




Majlis pelancaran Herbal Plaza dan Pusat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Usahawan (4PU) telah selamat dilancarkan oleh Yang Berbahagia Dato' Mohd. Hashim Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Usahawan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) yang mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Yang Berhormat Dato' Mohamed Khaled Nordin.

Seramai 300 orang telah hadir ke majlis perasmian ini yang terdiri daripada usahawan industri herba, pegawai-pegawai Kerajaan dan mereka yang berminat dengan industri ini.

Dalam masa yang sama 20 orang usahawan daripada peserta Herbal Plaza telah mengambil bahagian di dalam program Mini Herbal Fest yang diadakan di perkarangan Herbal Plaza. Adalah diharapkan lebih ramai usahawan industri herba akan menyertai program Herbal Plaza/4PU di masa hadapan.

Monday, February 11, 2008

Perasmian Herbal Plaza

Projek Herbal Plaza yang terletak di Medan Tuanku, Kuala Lumpur akan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD), Dato' Seri Mohamad Khalid bin Nordin pada 15 Februari 2008.

Adalah dijangkakan 500 orang akan menghadiri majlis perasmian ini di mana YB Menteri akan melancarkan projek Herbal Plaza, Pusat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Usahawan (4PU) herba dan Herbal Shoppe yang akan menjual produk-produk usahawan herba yang dipamerkan di Herbal Plaza.

Dalam masa yang sama, satu program Mini Herbal Fest juga akan diadakan pada hari yang sama dihadapan bangunan Herbal Plaza. 20 orang usahawan herba yang dipilih daripada kalangan peserta Herbal Plaza akan menyertai Mini Herbal Fest ini untuk mempamer dan menjual produk-produk mereka. Mini Herbal Fest ini akan diadakan dari jam 8.00 pagi - 6.00 petang pada hari yang sama.

Usahawan industri herba, orang ramai dan semua yang berminat dijemput hadir ke majlis perasmian ini dan juga Mini Herbal Fest yang diadakan. Butir-butir adalah seperti berikut:

Tarikh: 15 Februari 2008 (Jumaat)
Masa: 8.00 pagi - 6.00 petang
Perasmian: 9.00 pagi
Lokasi: No. 15, Jalan Medan Tuanku 1, Medan Tuanku, 50300 Kuala Lumpur

Sunday, February 10, 2008

Herbal Plaza

Herbal Plaza adalah projek Malaysian Herbal Corporation (MHC) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD). Ianya adalah merupakan Pusat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Usahawan berasaskan herba dan produk asli (natural products).

Herbal Plaza yang bertempat di No. 15, Jalan Medan Tuanku 1, Medan Tuanku, Kuala Lumpur ini dibangunkan sebagai pusat setempat untuk industri herba di mana semua produk dan perkhidmatan yang berkaitan di kumpul dan dipamerkan di satu tempat khususnya untuk usahawan-usahawan tempatan dan luar negara berkumpul dan menjalankan aktiviti perniagaan mereka. Sebanyak 300 ruang pameran di sediakan kepada usahawan-usahawan di dalam industri herba yang berminat. Dalam masa yang sama, peserta yang mempamerkan produk mereka di Herbal Plaza juga boleh menjual produk-produk yang dipamerkan di kaunter jualan yang dikendalikan oleh MHC.

Peserta yang mengambil bahagian di dalam projek Herbal Plaza ini bukan sahaja berpeluang untuk mempamer dan menjual produk mereka, malahan berpotensi untuk:
  • Mempamerkan produk sepanjang tahun;
  • menyertai aktiviti promosi terancang dari semasa ke semasa;
  • Menyertai program networking industri;
  • Mendapat maklumat pertanyaan perdagangan (trade inquiries) terkini dari semasa ke semasa;
  • Keutamaan untuk menyertai pelbagai sessi latihan berkaitan industri yang dianjurkan oleh MHC;
  • Pendedahan di dalam pameran perdagangan dalam dan luar negara.

Usahawan yang berminat untuk menyertai projek Herbal Plaza ini boleh mendapatkan maklumat lanjut di sini ataupun memuat turun borang penyertaan di sini.

Wednesday, February 6, 2008

Selamat Bercuti

Saya ingin mengucapkan selamat bercuti kepada semua rakyat Malaysia khususnya mereka yang berbangsa Cina yang akan menyambut tahun baru cina pada 7 Februari 2008 ini. Kepada yang bercuti dan balik kampung, pandulah dengan cermat dan berhati-hati.

Tuesday, February 5, 2008

Malaysian Herbal Corporation

Malaysian Herbal Corporation (MHC) ditubuhkan pada bulan Januari 2001 sebagai anak syarikat milik penuh (100%) Malaysian Industry Government Group for High Technology (MiGHT), sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Sejak penubuhannya, MHC aktif memajukan industri herba di negara ini dengan pelbagai aktiviti seperti penganjuran pameran perdagangan NATPRO, seminar industri, perkhidmatan konsultansi, menganjurkan misi perdagangan ke luar negara dan sebagainya lagi.

Dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan ini, industri herba semakin popular di negara ini. Malahan statistik menunjukkan peningkatan yang begitu ketara di mana dalam tahun 1999, industri berasaskan herba di Malaysia bernilai RM4.55 billion telah meningkat kepada RM8 billion dalam tahun 2006. Ini menunjukkan kadar peningkatan sebanyak 10% setahun.

Maklumat lanjut berkaitan dengan MHC boleh diperolehi di laman web ini.

Monday, February 4, 2008

Blog Go Herbal!

Salam sejahtera dan selamat datang ke laman blog ini. Blog Go Herbal ini adalah untuk mereka yang berurusan di dalam industri herba khususnya di Malaysia. Terbuka kepada usahawan, petani, pensyarah, pegawai pertanian, pengilang, herbalist dan lain-lain penggiat industri ini.

Saya akan membawa khabar, berita, pengumuman dan lain-lain yang berkaitan dengan industri herba di Malaysia dan juga dunia untuk dikongsi bersama demi kepentingan bersama. Saya ingin menjemput sesiapa sahaja yang berminat dengan industri herba ini untuk turut sama berbahas dan juga menyumbang idea untuk kepentingan dan kebaikan bersama. Namun hadkan perbahasan anda kepada isu-isu yang berkaitan dengan industri ini sahaja.

Selamat Datang!