Thursday, November 20, 2008

5 Kementerian Patut Selaras Kajian Herba
















MUSTAPA (tengah) bersama Zainal Azman dan Mahadzir (kiri) melancarkan Laman Web e-Dagang dan Taklimat Program Pengiklanan Media Internet Industri Herba di Kuala Lumpur, semalam.

Setiap agensi laksana fungsi hampir sama: Mustapa

KUALA LUMPUR: Pertindihan fungsi dalam aspek pelaksanaan tugas lima kementerian perlu disusun semula bagi memastikan pengeluaran bahan mentah herba negara yang ketika ini dianggarkan bernilai lebih RM400 juta terus berkembang. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, selain kementeriannya, kementerian terbabit ialah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

"Setiap agensi kementerian itu menjalankan tugas yang hampir sama. Contohnya, penyelidikan oleh Mardi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kementerian Kesihatan adalah untuk meningkatkan kualiti industri herba.

"Namun, langkah bersepadu membolehkan tongkat ali, misai kucing, kacip fatimah, serai dan pelbagai jenis herba diberi perhatian sewajarnya kerana kegunaannya sudah mendapat tempat di kalangan masyarakat, sama ada bagi tujuan penjagaan kesihatan atau kecantikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis Pelancaran Laman Web e-Dagang dan Taklimat Program Pengiklanan Media Internet Industri Herba di sini, semalam. Hadir sama, Pengurus Besar Kumpulan Malaysian Herbal Corporation, Zainal Azman Abu Kasim dan Pengerusi DagangAsia Net Sdn Bhd, Mahadzir Mohd Isa.

Mustapa berkata, perubatan herba ditawarkan di tiga hospital terpilih iaitu Hospital Kepala Batas di Pulau Pinang, Hospital Pandan di Johor dan Hospital Putrajaya. "Ia memperlihatkan perkembangan industri herba negara yang semakin mendapat permintaan daripada masyarakat. "Justeru, kerajaan kini turut mengkaji usaha meningkatkan pengeluaran bahan mentah herba kerana ketika ini negara mengimport 65 hingga 70 peratus bahan mentah dari Indonesia dan India," katanya.

Sementara itu, Zainal berkata, keluaran industri herba tempatan akan meningkat kepada RM8 bilion tahun ini berbanding RM7.5 bilion tahun lalu

Saturday, November 15, 2008

Kenyataan Akhbar: Pelancaran e-Dagang Oleh Dato' Mustapa Mohamed

MAJLIS PELANCARAN LAMAN WEB E-DAGANG DAN TAKLIMAT PROGRAM PENGIKLANAN MELALUI MEDIA INTERNET UNTUK USAHAWAN HERBA, PRODUK ASLI DAN ASAS TANI


Kuala Lumpur – Malaysian Herbal Corporation (MHC), sebuah anak syarikat milik penuh Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MiGHT) dengan kerjasama rakan teknikalnya, DagangAsia Net Sdn. Bhd. (DagangAsia) akan melancarkan laman web e-Dagang dan program pengiklanan melalui media internet untuk usahawan herba, produk asli dan asas tani pada jam 9.00 pagi, 19 November 2008 (Rabu) di Pacific Ball Room, Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur. Majlis pelancaran akan disempurnakan oleh Y.B. Dato’ Mustapa Mohamed, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Program ini yang disokong oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) dan juga Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD), adalah dirangka khas untuk usahawan herba, produk asli dan asas tani Bumiputra dengan objektif untuk melahirkan usahawan Bumiputra berjaya melalui kempen pengiklanan media internet yang terancang dan sistematik.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Zainal Azman bin Abu Kasim, Pengurus Besar Kumpulan MHC menyatakan bahawa program ini dirangka bagi memberi peluang kepada usahawan herba dan asas tani Bumiputra untuk menggunakan media internet bagi mempromosikan produk-produk keluaran mereka.

“Pemasaran melalui internet akan membuka ruang yang lebih luas kepada usahawan Bumiputra untuk memasarkan produk mereka memandangkan sehingga kini terdapat 1.3 billion pengguna internet di seluruh dunia. Ini menjamin pasaran yang besar kepada usahawan Bumiputra bagi memasarkan produk mereka” tegasnya.

Sebanyak dua (2) pakej telah dibangunkan untuk pilihan usahawan. Setiap usahawan boleh memilih mana-mana pakej yang sesuai mengikut kesesuaian strategi perniagaan mereka serta bajet pemasaran masing-masing. Pakej yang telah disediakan adalah seperti berikut:

Pakej Jaya (Premium)
Bayaran Penyertaan: RM3,000
· 30 halaman dengan sistem web-office yang dijana dengan sistem jaringan;
· Penyelenggaraan DIY dengan sistem web-office;
· Sistem penyiaran berita;
· Hos laman web;
· Pengiklanan sepanduk di dalam lamanweb DagangHalal.com selama 40 hari (terhad kepada 300 usahawan yang terawal sahaja);
· Keutamaan senarai daftar dalam DagangHalal.com;
· Keutamaan enjin pencarĂ­an DagangHalal.com;
· Ikon sijil akuan peniaga MeCD-DagangHalal.com; dan
· Promosi di pameran perdagangan antarabangsa yang disertai oleh DagangHalal.com.

Pakej Usaha (Standard)
Bayaran Penyertaan: RM1,250
· Keutamaan penyenaraian dalam direktori dan enjin pencarĂ­an DagangHalal.com;
· Senarai halaman dengan logo syarikat, premis syarikat dan boleh mempamerkan sehingga 10 imej produk beserta dengan huraian lengkap;
· Penyelenggaraan secara DIY dengan sistem web office; dan
· Sijil ikon senarai daftar DagangHalal.com.

Program khas laman web e-dagang ini dibangunkan oleh MHC dengan kerjasama DagangAsia. Manakala MeCD pula menyediakan dana dalam bentuk Geran Bersamaan sebanyak 50% daripada pakej-pakej yang ditawarkan. Usahawan yang berminat pula hanya perlu membayar baki 50% bagi kontrak penyertaan selama satu (1) tahun.

Syarikat/usahawan yang berminat dijemput hadir ke Majlis pelancaran seperti yang dijadualkan. Maklumat lanjut serta borang permohonan untuk menyertai program ini boleh dimuat turun daripada laman web MHC di www.malaysianherbal.com ataupun menghubungi MHC di: 03 – 2697 6620 dan bercakap dengan pegawai-pegawai berikut:

Encik Mohamed Alias Mohd. Arifin
Cik Juhafida Jaafar