Friday, February 19, 2010

Produk Herba Tempatan Selamat

KENYATAAN AKHBAR MALAYSIAN HERBAL CORPORATION

Kenyataan Prof. Roger Byard, pakar patologi forensik University of Adelaide yang diterbitkan di dalam Jurnal Sains Forensik yang berpejabat di Amerika Syarikat yang menyatakan bahawa produk herba yang diambil secara berlebihan boleh menyebabkan kematian adalah satu kenyataan umum yang tidak memberi keadilan kepada produk-produk yang berasaskan herba.

Pengurus Besar Kumpulan Malaysian Herbal Corporation (MHC) Encik Zainal Azman Abu Kasim ketika mengulas kenyataan Prof. Roger Byard berkata “Umum mengetahui bahawa produk ubat-ubatan walau dalam bentuk apa sekali pun dan tidak terhad kepada produk berasaskan herba akan memudaratkan kesihatan sekiranya diambil secara berlebihan. Ia juga pasti akan memberi kesan sampingan sekiranya dicampur dengan produk preskripsi yang berasaskan kimia”.

Beliau berkata, produk berasaskan herba sebenarnya adalah selamat untuk pengguna kerana secara semulajadinya herba yang dikilang perlu melalui proses yang dikawal selia sebelum ianya dijadikan produk.

“Di Malaysia, semua produk berasaskan herba tidak kira yang dikeluarkan oleh pengusaha tempatan mahupun produk yang diimport perlu mendapatkan kelulusan Kementerian Kesihatan dahulu sebelum ianya dibenarkan untuk dipasarkan kepada pengguna”.

“Dalam masa yang sama, Kementerian Kesihatan juga menjalankan penguatkuasaan yang ketat untuk memastikan produk yang dipasarkan mengikut piawai formulasi yang telah didaftarkan serta diluluskan oleh Kementerian berkenaan. Sehubungan dengan itu, majoriti produk herba yang dipasarkan di Malaysia adalah selamat untuk pengguna”, tambahnya.

Selain daripada itu, teknologi terkini yang sedia ada di pasaran seperti teknologi “super-critical extraction” serta penemuan terkini di dalam sektor bioteknologi membolehkan bahan kontaminasi yang memudaratkan kesihatan seperti arsenik, plumbum dan raksa di dalam pelbagai bahan asas herba di asingkan dan hanya bahan aktif yang baik sahaja digunakan di dalam pembuatan dan pengeluaran produk herba. Teknologi ini telah pun sedia ada di pasaran sejak lebih sedekad yang lalu.

“Malahan produk herba yang dihasilkan dari kepelbagaian flora dan fauna negara ini yang diproses melalui kawalan kualiti yang ketat terbukti berkesan untuk membantu pengguna. Pengambilan yang berterusan dan sekiranya diamalkan secara sistematik akan mengimbangi kesihatan pengamalnya serta mengukuhkan sistem imunisasi badan” kata Zainal Azman.

Beliau turut menambah bahawa industri produk herba di negara ini adalah satu sektor yang dinamik dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 10% setahun serta nilai pasaran tahunan mencapai RM 10 billion.

Zainal Azman yakin bahawa industri herba berpotensi besar untuk dikembangkan lagi memandangkan produk-produk yang dihasilkan daripada herba tidak terhad kepada produk kesihatan tetapi juga produk makanan, kosmetik, penjagaan diri dan barangan keperluan harian.