Friday, October 30, 2009

Herba Tempatan Ke Arab Saudi


Herba tempatan ke Arab Saudi
Oleh Ahmad Farizal Hajat

Bahra Establishment jadi pengedar tunggal

MALAYSIAN Herbal Corporation Sdn Bhd (MHC), anak syarikat milik penuh Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MiGHT), menjalin kerjasama dengan Bahra Establishment (K.S.A) bagi memasarkan produk herba tempatan di Arab Saudi.

Menerusi kerjasama berkenaan, Bahra Establishment, firma yang diperbadankan di Jeddah itu turut dilantik sebagai pengedar tunggal produk di bawah jenama Herbal Shoppe, bagi menembusi pasaran lain, termasuk negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Pengurus Besar MHC, Zainal Azman Abu Kasim, berkata selain membantu memasarkan produk herba tempatan, firma itu juga dilantik membantu MHC membuka kiosk Herbal Shoppe.

Kiosk berkenaan adalah platform khas yang diwujudkan MHC bagi menyediakan ruang untuk memasarkan produk pengusaha herba tempatan, di beberapa bandar raya lain di Asia Barat.

Sebagai permulaan, katanya, Bahra Establishment akan membawa masuk beberapa produk herba tempatan yang dipasarkan menerusi kiosk Herbal Shoppe untuk dipamerkan di ruang pameran Dubai International Halal Expo pada 10 dan 11 November ini.

“Syarikat itu turut akan membawa masuk produk herba Malaysia untuk dipasarkan di beberapa kedai yang dilesenkan kerajaan Arab Saudi bagi menjual produk berasaskan herba luar, selain membantu MHC membuka kiosk Herbal Shoppe di Bandaraya Jeddah, seawal tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili MHC memeterai memorandum persefahaman dengan Bahra Establishment yang diwakili pengerusinya, Dr Mohammad M.J. Nader, di Kuala Lumpur, semalam.

Majlis itu disaksikan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohd Shafei Abdullah.

Zainal berkata, penubuhan kiosk Herbal Shoppe di pasaran Asia Barat, yang bakal ditempatkan di kebanyakan pusat beli belah terkemuka itu, bertujuan memperkenalkan konsep baru pemasaran produk herba Malaysia.

Katanya, usaha membuka lebih banyak Herbal Shoppe di pasaran luar juga bertujuan membantu mempromosikan lagi produk herba keluaran tempatan yang diusahakan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah satu bumbung.

Beliau berkata, sebelum ini, PKS yang mengusahakan produk herba tempatan agak sukar menjual dan memasarkan produk keluaran mereka, menyebabkan industri berkenaan yang mula berkembang sejak beberapa tahun lalu berada dalam suasana kurang memuaskan.

“Apabila MHC ditubuhkan, kami diberi tanggungjawab dalam memastikan usaha PKS herba ini tercapai, iaitu bermula dari peringkat awal hingga ke pemasaran,” katanya.

Selain Asia Barat, Kiosk Herbal Shoppe yang diwujudkan bagi menyediakan alternatif kepada pengusaha untuk memasarkan produk mereka tanpa perlu membuat bayaran penyenaraian yang tidak munasabah, juga sudah dibuka di Bangladesh, Indonesia dan Brunei.

Monday, May 4, 2009

Harian Metro: Nilai Pasaran Herba RM8b

Nilai Pasaran Herba RM8b
Oleh Efindi Badarudin
efindi@hmetro.com.my

Herba tempatan mencatat nilai pasaran kira-kira RM8 bilion tahun lalu berbanding tahun sebelumnya dengan peningkatan 10 peratus, sekali gus membuktikan industri berkenaan mempunyai potensi luas untuk dimajukan.

Ini bermakna pasaran industri herba tempatan meningkat empat kali ganda bermula 2002 apabila ketika itu pasaran industri berkenaan kira-kira RM2 bilion.

Pengurus Besar Kumpulan Malaysia Herbal Corporation (MHC) Zainal Azman Abu Kasim, berkata pasaran produk herba dunia tahun lalu mencecah RM720 bilion.

Menurutnya, MHC, anak syarikat milik penuh Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (Might) yang bertanggungjawab memajukan industri herba di negara ini, melakukan pelbagai aktiviti untuk meningkatkan pendapatan pengusaha herba.

Katanya, antara projek terbaru MHC ialah melancarkan portal DagangHerbal.com, sebuah portal yang dibangun khusus untuk industri herba.

“Portal ini bertujuan memudahkan pengusaha termasuk mereka yang memasarkan produk herba di Malaysia menjalankan urus niaga secara terus kepada pelanggan,” katanya di Kuala Lumpur.

Menurut Zainal Azman, pelancaran portal itu adalah lanjutan kejayaan program Pusat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Usahawan (4PU) produk herba yang dikendalikan MHC.

Beliau berkata, berikutan kejayaan projek 4PU herba itu, 150 syarikat yang menyertai projek berkenaan kini disenaraikan di portal terbabit.

“Portal ini dibangun dengan kerjasama syarikat Dagang Net Asia Sdn Bhd.

“Ia juga sebagai portal rujukan utama kepada pembeli dan penjual produk herba untuk mendapat maklumat mengenai produk, bekalan, pengusaha dan sebagainya dalam industri herba,” katanya.

Menurut Zainal Azman, portal itu mempunyai laman khusus untuk pengusaha produk herba menyenaraikan produk mereka yang boleh dilihat bakal pembeli di seluruh dunia.

Tuesday, February 3, 2009

Harian Metro: Tinjau Teknologi, Pasaran Herba

Tinjau teknologi, pasaran herba
Oleh Efindi Badarudin
efindi@hmetro.com.my

MALAYSIAN Herbal Corporation (MHC), anak syarikat milik penuh Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (Might), mengadakan misi lawatan dagang ke beberapa negara termasuk Indonesia bagi mengenal pasti pasaran serta teknologi digunakan pengusaha herba di negara terbabit.

Pengurus Besar Kumpulan, Zainal Azman Abu Kasim, berkata MHC bersama pengusaha herba Malaysia yang membuat tinjauan itu mahu melihat lebih dekat teknologi dan jenis herba yang diguna pengusaha herba di luar negara supaya ia boleh dikomersialkan di negara ini.

Menurutnya, selain tinjauan teknologi itu, MHC juga mencari pasaran bagi memudahkan pengusaha herba tempatan memasarkan hasil mereka ke luar negara.“Kami adakan pertemuan dengan pengusaha herba di luar negara dan daripada situ pengusaha tempatan dapat menjalinkan hubungan perniagaan yang memudahkan mereka bertukar pendapat serta maklumat mengenai industri herba,” katanya kepada Bisnes Metro.