Monday, May 4, 2009

Harian Metro: Nilai Pasaran Herba RM8b

Nilai Pasaran Herba RM8b
Oleh Efindi Badarudin
efindi@hmetro.com.my

Herba tempatan mencatat nilai pasaran kira-kira RM8 bilion tahun lalu berbanding tahun sebelumnya dengan peningkatan 10 peratus, sekali gus membuktikan industri berkenaan mempunyai potensi luas untuk dimajukan.

Ini bermakna pasaran industri herba tempatan meningkat empat kali ganda bermula 2002 apabila ketika itu pasaran industri berkenaan kira-kira RM2 bilion.

Pengurus Besar Kumpulan Malaysia Herbal Corporation (MHC) Zainal Azman Abu Kasim, berkata pasaran produk herba dunia tahun lalu mencecah RM720 bilion.

Menurutnya, MHC, anak syarikat milik penuh Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (Might) yang bertanggungjawab memajukan industri herba di negara ini, melakukan pelbagai aktiviti untuk meningkatkan pendapatan pengusaha herba.

Katanya, antara projek terbaru MHC ialah melancarkan portal DagangHerbal.com, sebuah portal yang dibangun khusus untuk industri herba.

“Portal ini bertujuan memudahkan pengusaha termasuk mereka yang memasarkan produk herba di Malaysia menjalankan urus niaga secara terus kepada pelanggan,” katanya di Kuala Lumpur.

Menurut Zainal Azman, pelancaran portal itu adalah lanjutan kejayaan program Pusat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Usahawan (4PU) produk herba yang dikendalikan MHC.

Beliau berkata, berikutan kejayaan projek 4PU herba itu, 150 syarikat yang menyertai projek berkenaan kini disenaraikan di portal terbabit.

“Portal ini dibangun dengan kerjasama syarikat Dagang Net Asia Sdn Bhd.

“Ia juga sebagai portal rujukan utama kepada pembeli dan penjual produk herba untuk mendapat maklumat mengenai produk, bekalan, pengusaha dan sebagainya dalam industri herba,” katanya.

Menurut Zainal Azman, portal itu mempunyai laman khusus untuk pengusaha produk herba menyenaraikan produk mereka yang boleh dilihat bakal pembeli di seluruh dunia.