Monday, February 18, 2008

23 Gerai Pamer Produk Tempatan

Berita Harian: 16 Februari 2008
23 gerai pamer produk tempatan
Oleh Abdul Halim Yusoff


MAHB sedia ruang niaga usahawan Bumiputera di terminal penumpang KLIA, LCCT MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) menawarkan lebih banyak ruang niaga kepada usahawan untuk memasarkan produk keluaran tempatan di terminal penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang. Ini susulan persefahaman dimeterai dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, yang menyaksikan MAHB menyediakan 23 gerai untuk usahawan Bumiputera menjual enam kategori keluaran tempatan merangkumi produk herba, kraf, fesyen, makanan, minuman dan produk aromaterapi.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohd Hashim Abdullah, berkata usahawan tempatan yang terpilih dijangka mula berniaga di lokasi berkenaan menjelang Jun ini. Katanya, program berkenaan dirangka khusus bagi mengetengahkan produk dan barangan tempatan kepada masyarakat antarabangsa, sebelum produk berkenaan dipasarkan ke seberang laut. Beliau berkata, usaha promosi penting bagi membolehkan produk keluaran pengusaha tempatan dikenali dan diterima baik di peringkat antarabangsa.

“Kerajaan sentiasa menggalakkan usahawan tempatan meningkatkan kegiatan promosi dan inovasi. Kementerian memperuntukkan dana RM10 juta setahun bagi membantu usahawan melaksanakan kegiatan promosi,” katanya. Beliau berkata demikian selepas mewakili menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melancarkan Plaza Herba (MHC) dan Projek Pusat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Usahawan (4PU) di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama Pengerusi Eksekutif Malaysian Herbal Corporation; Datuk Dr Ahmed Tasir Lope Pihie, Pengurus Besar MHC, Zainal Azman Abu Kasim; Ketua Penolong Setiausaha Kanan MECD, Mohamad Khir Mat Lazim dan Pengarah Eksekutif MHC, Asmadi Md Said.

MHC ialah anak syarikat Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MiGHT). Projek MHC dan 4PU ialah usaha sama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Might bagi memasarkan produk herba keluaran usahawan tempatan. Mohd Hashim berkata, kementerian hingga kini mewujudkan lima pusat 4PU iaitu masing-masing satu di Kuala Lumpur, Kedah, Perak, Kelantan, Johor dan Selangor. Katanya, 4PU adalah mekanisme pemasaran yang diperkenalkan kementerian itu untuk membantu usahawan memasarkan produk mereka secara konsisten.

“4PU ialah Pusat Dagangan yang mempunyai elemen pengumpulan, pemasaran dan tambah nilai di bawah program ‘Groom Big’, yang mana kerajaan mahu mewujudkan dua kelompok usahawan iaitu pengeluar dan usahawan pemasaran. “Kementerian sudah mengenal pasti 12 usahawan pemasaran di Malaysia, dan kami mensasarkan mewujudkan seramai 10 usahawan pemasaran setiap tahun,” katanya. Bagi program 4PU dan produk herba, MHC akan berfungsi sebagai agensi pemasaran kementerian bagi produk herba yang dikeluarkan usahawan Bumiputera. Di 4PU, semua produk herba akan dikumpul, dipamer, dipromosi, ditambah nilai dan dipasarkan MHC.

No comments: