Tuesday, February 19, 2008

RM65j Bina Kilang Produk Herba

Berita Harian: 19 Februari 2008
RM65j bina kilang produk herba
Oleh Ahmad Fiesal Othman


SEJUMLAH RM65 juta diperuntukkan tahun ini untuk membina dua kilang pemprosesan produk herba bagi membantu serta menggalakkan pihak swasta menceburi serta mengkomersilkan produk berkenaan. Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, berkata ia masing-masing RM35 juta untuk membina fasa kedua kilang TPM Biotech Sdn Bhd di Raub, Pahang dan RM30 juta bagi pembinaan kilang baru di Perlis. Katanya, peruntukan berkenaan selaras usaha kerajaan menyediakan prasarana terbaik bagi membantu mengurangkan risiko dan beban kewangan pihak swasta menceburi bidang baru itu.

Beliau berkata, ia juga sebahagian usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai pengeluar produk herba bertaraf dunia menerusi bioteknologi dan penghasilan kaedah baru daripada kepelbagaian ramuan herba yang dimiliki. “Kemudahan prasarana dibina kerajaan seperti kilang pemprosesan herba dapat digunakan dan dimanfaatkan syarikat swasta yang mana setakat ini kilang di Raub, digunakan kira-kira 150 syarikat untuk memproses produk mereka,” katanya. Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis memeterai perjanjian persefahaman (MoU) antara anak syarikat milik penuh Technology Park Corporation Malaysia Sdn Bhd, TPM Biotech Corporation dengan Herbavescent Sdn Bhd dan perjanjian anak syarikat Ipmuda Bhd - UniHerbal Sdn Bhd dengan Provitz Biotech Sdn Bhd.

Pada majlis di Kuala Lumpur, semalam, itu Jamaludin turut melancarkan rangkaian produk Herbavescent dan Spartan yang dikeluarkan oleh Provitz Biotech. Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Ipmuda, Tan Sri Abu Sahid Mohamed. MoU antara TPM Biotech dengan dengan Herbavescent ialah untuk menjalin kerjasama dalam aspek pembangunan produk, kontrak pengeluaran dan mengkomersilkan produk herba dan kesihatan. MoU antara UniHerbal dengan Provitz Biotech pula ialah bagi melantik anak syarikat Ipmuda itu sebagai pengedar tunggal produk Spartan iaitu formulasi herba bagi membantu meningkatkan kekuatan, ketahanan dan kejantanan selain meningkatkan kesihatan secara am.

Jamaludin menambah, pembinaan fasa kedua kilang TPM Biotech di Raub kini sedang berjalan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun, manakala kilang baru di Perlis adalah bagi memenuhi keperluan di utara Semenanjung. Katanya, kementeriannya turut mendapat permintaan daripada Ketua Menteri Sabah untuk membina kilang serupa di negeri berkenaan dan akan memohon peruntukan baru kerajaan bagi tujuan itu. Beliau berkata, selain menyediakan kemudahan prasarana, kementeriannya sebagai antara yang dipertanggungjawabkan untuk memajukan industri herba juga bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk mewujudkan standard keselamatan untuk produk herba dihasilkan. “Kelulusan seperti itu amat penting bagi memastikan produk herba yang dihasilkan dijamin selamat serta memenuhi piawaian antarabangsa. Kabinet sudah meluluskan perkara itu dan ia akan dilancarkan tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Provitz Biotech, Probhat Malakar, berkata pihaknya mensasarkan meraih jualan antara RM18 juta hingga RM22 juta untuk tempoh 12 bulan akan datang bagi rangkaian produk Spartan dan Herbavescent dihasilkannya. Beliau berkata, produk terbabit setakat ini dipasarkan ke Turki dan syarikat mengenal pasti pasaran di Eropah, Thailand, Indonesia, Singapura dan Asia Barat yang berminat. “Dengan herba diperoleh dari Malaysia dan negara jiran Asean serta India dan China, Provitz Biotech berhasrat menjalankan lebih banyak penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.

No comments: