Wednesday, February 27, 2008

Vanilla Di Perkenal Jadi Tanaman Komoditi Baru

Berita Harian: 27 Februari 2008
Vanila diperkenal jadi tanaman komoditi baru
Oleh Jalal Ali Abdul Rahim


SERDANG: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mahu memperkenalkan vanila sebagai tanaman komoditi baru kerana pasarannya yang luas pada peringkat antarabangsa. Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata tanaman itu mempunyai ciri pertanian yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) seperti nilai tambah tinggi, komersial, penggunaan teknologi moden, memanfaatkan bioteknologi serta pembabitan usahawan tani dan tenaga kerja mahir.

Katanya, kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) pada 1992 membuktikan pokok vanila boleh mengeluarkan buah berkualiti di negara ini. Vanila digunakan secara meluas dalam industri pemakanan seperti ais krim, minuman dan kek serta bau-bauan, khususnya industri pembuatan minyak wangi. Industri pembuatan tayar turut menggunakan vanila untuk mengatasi masalah bau getah yang kuat, selain industri farmaseutikal dan nutraseutikal. “Industri vanila adalah industri baru yang wajar diterokai secara serius oleh sektor pertanian negara. Usaha memperkenalkannya sebagai tanaman baru juga akan mengelak Malaysia terlalu bergantung kepada beberapa komoditi seperti getah dan kelapa sawit.

“Dengan mempelbagaikan tanaman komoditi negara, kita lebih bersedia menyerap faktor turun naik atau ketidakseimbangan harga komoditi di pasaran,” katanya pada majlis perasmian Seminar Vanila Malaysia Pasaran Dunia anjuran bersama Malaysian Herbal Corporation Sdn Bhd (MHC) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) di universiti berkenaan di sini, semalam. Teks ucapannya dibacakan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Zulkifli Idris. Hadir sama Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Nik Mustapha Abdullah; Pengarah Eksekutif MHC, Asmadi Md Said dan Ketua Pegawai Eksekutif Rentak Timur Sdn Bhd, Syed Isa Syed Alwi.

Dua perjanjian persefahaman (MoU) dimeterai membabitkan Vanilla Biometrix Sdn Bhd (VBSB), UPM dan Koperasi Usahawan Putrajaya Berhad bagi tujuan penyelidikan, penanaman dan pemasaran tanaman dan hasilnya. Muhyiddin berkata, dengan kelebihan potensi membekalkan vanila asli, Malaysia mampu meneroka pasaran utama dunia seperti Eropah dan Amerika Utara yang memberi penekanan terhadap penggunaan vanila asli kerana memenuhi kawalan kualiti dan piawaian ketat.

Sehubungan itu, kementeriannya berharap agensi penyelidikan termasuk swasta membuat kajian dan penyelidikan menghasilkan spesies pokok vanila tempatan dan menyediakan tapak ladang, manakala institusi kewangan menyediakan pembiayaan perlu bagi menyokong tanaman itu.

2 comments:

Unknown said...

tiada komen. saya skg sedang memulakan tanaman vanila secara kecilan. sekarang ini peringkat benih. oleh itu saya perlukan bantuan khidmat nasihat serta bimbingan dan pasaran.dari adabi perlis. 0194362884

Anonymous said...

saya khairul adabi bin hussin dari perlis. ingin minta bantuan,nasihat dan penjualan hasil. saya sekarang ini sudah memulakan penanaman vanila di peringkat anak pokok. oleh itu saya amat memerlukan bantuan dari pihak tuan untuk memberi apa - apa nasihat atau cara untuk vanila ini. sekian terima kasih. 0194362884