Monday, February 18, 2008

Keluaran Industri Herba Tempatan Di Unjur RM6B

Berita Harian: 13 Februari 2008
Keluaran industri herba tempatan diunjur RM8b
Oleh Zef Othman


Malaysian Herbal anjur pelbagai promosi produk jana pertumbuhan

MALAYSIAN Herbal Corporation, anak syarikat milik penuh Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), mengunjurkan nilai keluaran industri herba tempatan akan meningkat kepada RM8 bilion tahun ini daripada RM7.5 bilion tahun lalu. Pengurus Besar Kumpulannya, Zainal Azman Abu Kasim berkata, unjuran itu adalah sejajar dengan sasaran pertumbuhan tahunan industri itu, iaitu sekitar 10 peratus.

Beliau berkata, antara usaha yang dilaksanakan Malaysian Herbal bagi menjana pertumbuhan industri itu adalah mempelbagaikan aktiviti promosi produk herba, termasuk penganjuran temasya herba serta meningkatkan pendedahan terhadap penghasilan produk yang menggunakan bahan semula jadi yang boleh didapati di negara ini. Katanya, temasya herba yang bakal diadakan itu dijangka memberikan pendedahan kepada pengguna di negara ini mengenai produk yang boleh didapati di pasaran, disamping penggunaan bahan asas bagi mengeluarkan produk berasaskan herba. "Temasya dan aktiviti promosi produk herba secara agresif dapat membantu usahawan tempatan mempromosikan rangkaian produk di pasaran secara lebih meluas lagi," katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, semalam.

Menjelang penganjuran temasya herba pertama di Menara Kuala Lumpur pada 20 April ini, Malaysian Herbal akan menganjurkan temasya mini herba di pekarangan Plaza Herbal di Medan Tuanku, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Sebanyak 20 syarikat tempatan sudah mendaftar untuk menyertai temasya itu yang akan diadakan sempena pelancarannya plaza itu 15 Februari ini. Zainal berkata, ketika ini produk makanan tambahan dan kosmetik adalah antara produk herbal yang mendapat permintaan menggalakkan di negara ini. Beliau berkata, antara yang mempunyai potensi untuk berkembang pula adalah rangkaian produk farmaseutikal yang masih kurang diusahakan oleh usahawan tempatan.

Produk farmaseutikal, katanya begitu kurang diusahakan oleh usahawan tempatan kerana ia memerlukan pelaburan besar sementara pembangunan produk pula mengambil masa yang lama, iaitu antara lima hingga 10 tahun. Namun, katanya Malaysian Herbal menyarankan usahawan tempatan mengembangkan produk keluaran mereka untuk turut meliputi produk farmaseutikal bagi membolehkan mereka meneroka pasaran luar negara. "Mereka perlu memanfaatkan dana yang telah disediakan kerajaan untuk membantu usahawan melakukan penyelidikan membangunkan produk berkenaan," katanya.

No comments: